16 February 2011

MULIA~

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Untungnya kita dilahirkan dalam Islam. Untungnya kita kerana tergolong dalam golongan junjungan besar, merangkap kekasih ALLAH, Nabi Muhammad s.a.w. Untungnya kita kerana Nabi s.a.w mewasiatkan dua perkara kepada kita nescaya tidak akan sesat hidup kita di dunia. Apakah ia? Al-Quran dan sunnahnya (Nabi Muhammad s.a.w). Maka, entry kali ini ingin saya bicara berkenaan dengan terjemahan surah Saba' (34) ayat ke 36, 39, dan 47.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNYA dan DIA juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNYA) akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). ~Saba' ayat ke-36~

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNYA di antara hamba-hambaNYA, dan DIA juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka ALLAH akan menggantikannya dan DIAlah jua sebaik-baik Pemberi rezeki". ~Saba' ayat ke 39~

Katakanlah (wahai Muhammad): "Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah maka faedahnya tetap terpulang kepada kamu, balasan yang menjadi upahku yang sebenar hanyalah dari ALLAH, dan DIA sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap sesuatu". ~Saba' ayat ke 47~

Sekadar pemahaman daripada saya sebagai insan yang amat cetek ilmu tafsir...

Rezeki memang ALLAH dah tetapkan. Cumanya sebagai hambaNYA yang serba dhaif lagi hina, kita perlu berusaha, berikhtiar. Berusaha mencari rezeki. Setiap manusia dikurniakan bakat dan kelebihan masing-masing. Dalam erti kata lain, kita mempunyai kebolehan tersendiri. Cumanya kebolehan itu perlu digali dalam diri sendiri. Mungkin kita tak nampak kelebihan yang kita sendiri miliki, namun dengan pertolongan orang terdekat samada rakan-rakan atau guru-guru maka kebolehan itu mampu ditonjolkan. Misalnya, Ahmad mempunyai kebolehan dalam mengacarakan program-program motivasi. Dalam erti kata lainnya Ahmad berkebolehan menjadi fasilitator. Maka dengan bakat yang dimilikinya itu, dia boleh mencari mana-mana institusi yang memerlukan tenaga fasi untuk program yang dijalankan. Itu juga merupakan usaha mencari rezeki.

Sekiranya mempunyai pendapatan yang lebih, maka perlulah diinfakkan. Jikalau rezeki yang sedikit itu disedekahkan kepada yang memerlukan, nescaya ALLAH akan tambah rezeki kita. Rezeki yang ALLAH beri setelah kita infak itu mungkin dalam bentuk ketenangan hati, rasa gembira, pertolongan yang tidak disangka-sangka semasa kita dalam kesusahan, dan mungkin juga permintaan kita 10 tahun lalu dimakbulkan ALLAH pada 2 tahun akan datang. Syaratnya, yakin dengan pertolongan ALLAH dan berserah diri kepadaNYA setelah melakukan ikhtiar.

Untuk tafsir ayat ke 47 surah Saba', saya rasa terharu dengan keperibadian Rasulullah s.a.w kerana Baginda berkata, dalam berdakwah menyebarkan Islam, Baginda tidak mengharapkan apa-apa. Balasan yang selayaknya adalah diminta daripada ALLAH sahaja. Baginda berserah kepada ALLAH atas segala usaha Baginda s.a.w. menyampaikan ajaran Islam. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Memerhati dan Menyaksikan setiap sesuatu. Nabi Muhammad s.a.w. ialah Al-Quran bergerak. Maka seharusnya kita sedaya upaya membaca Al-Quran setiap hari walaupun satu ayat dan cuba memahami maksudnya.

Segala yang baik itu daripada ALLAH dan kekurangan itu daripada kelemahan diri saya sendiri. Sekiranya ada terkurang dalam pangisian ini, maka sudilah kiranya dikongsi bersama. Wallahua'lam...

~Ya ALLAH, ampunilah dosa-dosa kami. Jauhilah diri kami daripada dosa syirik. Berilah kekuatan iman kepada kami.


No comments:

SALAM MA'AL HIJRAH 1433

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Salam Ma'al Hijrah 1443 Tahun baru, azam baru. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Seb...