30 March 2011

PAHALA


Tadi terdengar siaran ceramah agama di radio Kedah 97.5fm... ;) tak pasti lah pulak ustaz mana yang bagi kuliyah tu.. Tapi isi yang menariknya, ada beberapa cara untuk mendapat pahala melalui pancaindera mata.

1. Baca Al-Quran
Maksudnya baca al-Quran setiap hari walaupun sepotong ayat sahaja. Setiap huruf itu akan diberi ganjaran 10pahala. Misalnya alif, lam, mim... Alif itu 10pahala, lam itu 10pahala, dan mim itu 10pahala. Haa, kan free-free je dah dapat pahala. Itu baru setakat baca je. Kalau dah baca Quran, lepas tu baca tafsirnya, dan mengamalkan kandungan Al-Quran itu, mestilah lagi berlipat kali ganda pahala yang akan ALLAH berikan. Wahhh, SERONOKnya baca Quran.

2. Melihat Ka'bah
Rukun Islam yang ke-5, menunaikan haji bagi yang berkuasa atau mampu. Kalau masih belum mampu ke sana, cukuplah sekadar melihat gambarnya. Melihat gambar Ka'bah. (Hmm, destinasi pilihan saya-Mekah, masih belum tertunai lagi. Akan diusahalan untuk ke sana.. insyaALLAH).

3. Melihat wajah ayah dan ibu
"Mak, ayah, mai sini sat. Cek nak tengok muka mak...", kata seorang anak. Masa saya belajar di Shah Alam dulu, saya letakkan gambar mak ayah dalam album dan tengok je selalu... Hee. Jauh sangat nak balik, masa cuti sem je baru boleh balik rumah. Sedih woo...

4. Melihat wajah para ulama'
Boleh diamalkan dengan pergi mendengar kuliyah mereka di masjid-masjid atau mana-mana tempat umum.

Sekian, tazkirah untuk hari ini. Mana yang baik itu daripada ALLAH dan kelemahan itu dari diri saya sendiri, hakikatnya daripada ALLAH jua.

Wallahu'alam... (^_^)v

14 March 2011

S.A.H.A.B.A.T


Bismillahirrahmanirrahim
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Sahabat,
Maafkan aku kiranya ada hak-hakmu yang tidak aku tunaikan
Maafkan aku kerana jarang menghubungimu
Maafkan aku andai bisa mengguriskan hatimu
Maafkan aku kerana buruk sangka denganmu
Maafkan aku kerana mengabaikan janji-janji yang pernah terlafaz

Sahabat,
Terima kasih atas nasihatmu
Terima kasih atas doronganmu
Terima kasih atas kesudianmu menghulurkan tangan tatkala aku dalam kesusahan
Terima kasih atas kesudianmu meminjamkan bahumu untukku mengurangkan resah di jiwaku
Terima kasih kerana sudi menerima segala kekuranganku
Terima kasih kerana sudi menghulurkan salam perkenalan denganku

Sahabat,
Walau dimana dikau berada, aku mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan hidupmu dunia dan akhirat
Moga tali persahabatan ini bisa menjadi bukti tatkala disapa oleh ALLAH di hari kemudian
Antara golongan yang mendapat naungan ALLAH di akhirat kelak:
"dua orang sahabat yang berkasih (bersahabat) ker
ana ALLAH, bertemu dan berpisah keranaNYA..."

Akhir kalam, maafkan segala salah dan silapku sepanjang perkenalan kita
Aku memohon dihalalkan segala makan, minum, ilmu, tunjuk ajar dan sebagainya
Doaku sentiasa mengiringi setiap langkah perjuangan hidupmu
Semoga segala kebaikanmu sentiasa kuingat sehingga akhir hayatku
Terima kasih sahabat...

"Wahai Maha Pengasih, jika sahabatku jatuh cinta, benihkan cintanya pada seseorang yang melabuhkan cinta padaMu. Agar bertambah kekuatannya untuk mencintaiMu. Wahai Maha Penyayang, jika sahabatku jatuh hati, izinkanlah dia menyentuh hati orang yang hatinya tertaut padaMu. agar sahabatku tidak jatuh dalam jurang cinta yang murah. Wahai Maha Pengasih, jika sahabatku rindu, rindukanlah dia pada seseorang yang merindui syahid di jalanMu.Wahai Maha Penyayang, jika sahabatku rindu, jagalah rindunya pd Mu. Agar dia tidak lalai dari merindui syurgaMu..."

Amin ya rabbal 'alamin...

10 March 2011

T.E.N.A.N.G

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, segala pujian hanya bagi ALLAH. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w., keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.

Jika mahukan kesenangan,
maka berilah kesenangan kepada orang
Jika mahukan ketenangan,
maka berilah ketenangan kepada orang
Jika mahukan kebebasan,
maka berilah kebebasan kepada orang.

Itu antara kata-kata hikmat yang diungkapkan oleh Prof. Dr. Muhaya Muhammad seorang pakar mata. Maka di sini kita dapat lihat bahawa erti hidup adalah dengan banyak memberi. Memberi tanpa mengharapkan balasan kerana ALLAH itu pemilik mutlak hati-hati kita. InsyaALLAH DIA akan memberikan sesuatu yang sangat manis dan tidak disangka-sangka tatkala kita dalam kesusahan. Itulah keindahan apabila meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada ALLAH.

Kehidupan manusia ini penuh dengan pancaroba dan dalam Al-Quran ALLAH menyatakan bahawa dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau (Al-Hadid, 57: 20). Maka formula untuk menghadapi hidup ialah:

Peristiwa + Tindak balas = Hasil hidup

Daripada formula di atas, saya berikan contoh agar lebih jelas. Khadijah bekerja sebagai seorang pendidik. Gaji Khadijah sebulan ialah RM2500. Satu hari, beliau mendapat berita mengatakan seorang sahabatnya terlibat dalam satu kemalangan (peristiwa). Kemalangan tersebut mengakibatkan kaki sahabatnya patah dan memerlukan kos yang tinggi untuk rawatan. Maka dengan rasa belas ehsan, Khadijah menginfakkan sebanyak RM300 kepada rakannya itu (tindak balas). Harapannya agar sahabatnya itu lekas sembuh dan dipermudahkan urusan hidup. Khadijah berasa tenang kerana dapat membantu sahabatnya setakat termampu dan beliau yakin bahawa mungkin ini adalah hari sahabatnya. Beliau juga yakin bahawa rezeki yang dimilikinya itu pemberian ALLAH dan hanya ALLAH yang berhak membalasnya (hasil hidup).

Situasi ke-2:
Nora seorang jurujual. Dia menjual barang-barang runcit di perumahan tempat tinggalnya. Dalam perniagaan, dia sering menipu (peristiwa). Timbangan yang disukat sering kurang sedangkan harga barang tersebut sangat mahal (tindak balas). Maka, suatu hari pembeli sedar akan sikapnya yangs eringkali menipu dalam sukatan barang. Perniagaannya merosot dan terpaksa menanggung hutang piutang yang banyak (hasil hidup).
Oleh yang demikian, untuk mendapat ketenangan hidup, seseorang itu perlulah memiliki beberapa ciri seperti di bawah:
a) fizikal- merangkumi tubuh badan yang sihat, kesihatan yang baik
b) mental- menjaga minda dengan membaca bahan bacaan yang baik, menonton rancangan tv yang baik
c) kerohanian- menjaga solat, solat di awal waktu, solat dengan khusyuk, membaca Al-Quran
d) sosial- menjaga hubungan baik dengan semua orang, menghubungkan silaturrahim. (bak kata pepatah: yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan...)
e) kewangan- sumber kewangan haruslah mencukupi agar tidak meminta kepada orang lain.
Konklusinya, ketenangan hidup itu akan dicapai dengan memberi nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita kepada orang yang memerlukan. Nikmat itu merangkumi ilmu yang ada pada kita, kemahiran yang kita ada, duit yang banyak, tanah yang subur, dan sebagainya. Melalui nikmat ini, hitunglah sebanyak mana kesyukuran kita kepadaNYA, jangan dihitung sejauh mana kesukaran yang kita hadapi. Jangan dilihat sesuatu yang susah itu sebagai masalah tetapi lihatlah ia sebagai satu cabaran yang perlu kita hadapi. Ingatlah bahawa ALLAH sentiasa bersama hambaNYA yakni hambaNYA yang sering merintih memohon pertolongan kepadaNYA, hamba yang sering memohon petunjuk kepadaNYA dalam setiap kerja, hamba yang sering memohon kekuatan daripadaNYA kerana sifat hamba ini seorang yang lemah.
~ Saya mahu sentiasa berfikiran positif
~ Saya mahu selalu memberikan yang terbaik
~ Saya mahu menerima kebaikan
~ Saya mahu senyum selaloo...
~ Saya mahu ingat ALLAH selalu...

01 March 2011

IBU MAK UMI MAMA MUMMY


Mak, ibu, umi, mama... Itu semua kata nama bagi seorang wanita yang mempunyai anak. (Anak angkat pun boleh jugak kan? ada je yang panggil mama walaupun bukan anak sendiri...) Seorang wanita itu bukanlah tugasnya melahirkan anak sahaja. Anak itu perlu diberi didikan dan asuhan sesempurna mungkin. Selepas melahirkan, anak itu disusukan, dibelai dengan penuh kasih sayang, tidak seekor nyamuk atau semut pun dibenarkan menyentuh tubuh si kecil itu. Melihat anak-anak itu membesar di depan mata sahaja sudah cukup memggembirakan hati si ibu. Tidak pernah dizahirkan kerisauan dan kegelisahan di hati si ibu walaupun dia tahu dugaan hidup anaknya itu semakin mencabar. Semakin hari ada sahaja benda-benda baru dipersekitaran. Naluri seorang anak muda pula mudah terpengaruh, semangat igin mencuba sesuatu yang baru. Sekiranya tidak dipagari dengan iman yang kukuh, hidupnya akan terpesong dari landasan yang betul.

Seorang ibu juga harus menjadi contoh bagi anak-anaknya. Anak-anak melihat kekuatan yang ada pada diri si ibu. Bukanlah manafikan kelemahan dan kekurangan diri si ibu, namun ibu harus menunjukkan sikap terbaik kerana anak-anak melihat setiap gerak-gerinya. Misalnya, si ibu memang ada masalah. Manusia mana yang tidak dilanda masalah. Tidak kira masalah kewangan, masalah hati, kesihatan dan sebagainya. Dari siapa lagi perlu dipohon kekuatan melainkan Pencipta diri ini sendiri? Pinta si ibu... Maka, dengan penuh rasa kehambaan kepada Yang Maha Esa, diri yang hina ini merebahkan diri sujud menyembah ALLAH kala dinihari. Si anak yang sudah dewasa kini terjaga dan berasa pilu tatkala melihat ibunya sedang asyik bermunajat dengan Pencipta Agung yakni ALLAH.

"Ya, mak memang seorang wanita yang tabah... Semoga kekuatan yang ada pada diri mak itu disalurkan pada anak-anaknya. Semoga mak sentiasa mendapat kasih sayang dan perhatian daripada ALLAH. Semoga mak tergolong bersama golongan orang-orang yang beriman dan ditempatkan di Syurga kelak... Terima kasih, mak."

SALAM MA'AL HIJRAH 1433

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Salam Ma'al Hijrah 1443 Tahun baru, azam baru. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Seb...