Assalamu'alaikum
Salam Jumaat, salam ceria, salam mahabbah. Segala pujian hanya bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Suatu hari, Rasulullah s.a.w. berjalan melalui satu tanah perkuburan. Di satu sudut, didapati ada seorang wanita duduk di sisi pusara anaknya sambil menangis.
Rasa simpati terbit dalam hati Rasulullah, lantas Baginda bersabda bermaksud: "Bertaqwalah kepada ALLAH dan bersabarlah."
Sebaik sahaja mendengar lafaz sabar, wanita itu naik angin. Dihalaunya Rasulullah, "Jauhkan dirimu daripadaku! Engkau tidak menderita ditimpa musibah sepertiku." Jelaslah, wanita itu tidak tahu bahawa pesan sabar itu lahir dari hati seorang Rasul. Sebab itu agak kasar bicaranya.
Namun, Rasulullah s.a.w. sedikitpun tidak tersinggung. Baginda meneruskan perjalanan Baginda.
Setelah diberitahu oleh orang yang ada berdekatan bahawa yang menasihatinya itu ialah Rasulullah, rasa bersalah terbit dalam hatinya. Wanita itu segera bergegas pergi menemui Rasulullah s.a.w. Itulah akibat cepat melenting dan tidak bersabar.
Lafaz pertama yang terbit saat dia menemui Rasulullah ialah ucapan maaf. "Maaf, aku tidak mengenalimu wahai Rasulullah." Nabi s.a.w. tetap tenang, malah ucapan Baginda berupa wahyu itu memandu kita tentang sabar hingga hari ini. Sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya kesabaran itu ialah pada hentaman (pukulan) pertama." [Muttafaq 'alaih]
~Sumber: SOLUSI isu no.31, m/s 11~
No comments:
Post a Comment